Sekiranya kita mengkaji sejarah sukan bolasepak, boleh
dikatakan hampir semua negara mempunyai kaitan (samada banyak ataupun sikit)
dengan kedatangan orang Inggeris. Ini kerana, orang Inggerislah yang mula-mula
mempopularkan permainan yang menggunakan kaki ini sehingga pengaruhnya mampu
merebak ke seluruh pelosok dunia. Sebab itulah persatuan bolasepak Inggeris
hanya dikenali dengan nama 'The FA' (The Football Association).
Negara-negara lain pula perlu meletakkan nama negara masing-masing sebelum atau
selepas diletakkan perkataan 'FA' bagi membezakannya dengan persatuan bolasepak
Inggeris sebagai negara pelopor. Sebagai contoh, FAM adalah singkatan
bagi Football Association of Malaysia. Walaupun terdapat kesan
sejarah bahawa permainan zaman purba yang seakan-akan bolasepak telah pun
muncul di Mexico (permainan yang dinamakan sebagai Tlachtli), China (Tsu'Chu),
Bahamas (Tainos), dan Jepun (Kemari), namun permainan moden yang dimainkan pada
hari ini adalah hasil daripada undang-undang bolasepak yang diperkenalkan oleh
orang Inggeris. Selaras dengan peredaran masa, undang-undang tersebut telah
menjadikan bolasepak berkembang sebagai sukan yang lebih tersusun serta
sistematik. Acara kemuncak yang diadakan empat tahun sekali yakni kejohanan
Piala Dunia FIFA juga kerap kali menjadi tumpuan seluruh dunia tanpa mengira
perbezaan warna kulit mahupun latarbelakang bangsa.
Kini, tidak ada satu pun negara yang tidak terkesan dengan tarikan sukan bolasepak. Sekiranya ada pengecualian, mungkin hanya Amerika Syarikat sahaja yang cuba mengecilkan pengaruh bolasepak. Orang Amerika sering menyebut istilah "American exceptionalism" apabila menerangkan sebab mereka tidak berapa cenderung kepada bolasepak. Mereka merasakan bahawa mereka berbeza (atau pelik berbanding) dengan negara-negara lain, tidak kiralah samada ianya baik mahupun tidak. Malah, mereka lebih gemar menggunakan perkataan 'soccer', padahal seluruh dunia menyebut 'football' (nama sukan bolasepak dalam Bahasa Inggeris). Bagi mereka, 'football' adalah 'American Football' atau pertandingan 'Super Bowl' iaitu satu sukan hampir lebih kurang sama dengan sukan ragbi cuma para pemain dikehendaki memakai helmet dan bermacam-macam pad keselamatan. 'American Football' pada dasarnya lebih banyak menggunakan tangan tetapi namanya sahaja yang menggunakan kaki. Di Amerika, 'soccer' adalah permainan yang biasanya dimainkan oleh kaum hawa walaupun jelas kelihatan kurang manis (tak molek) apabila seorang wanita mengangkat kaki untuk menendang, dan kadang kala ada yang sampai terkangkang-kangkang sewaktu menyepak bola. Samada sengaja ataupun terlepas pandang, ramai yang lupa bahawa adalah lebih mudah buat pemain-pemain bolasepak lelaki menutup aurat berbanding perempuan.
Fenomena luarbiasa yang terhasil daripada minat (atau kegilaan) terhadap bolasepak ini boleh diperhatikan hampir di mana-mana sahaja. Bolasepak seolah-olah berfungsi sebagai 'bahasa universal' yang boleh difahami semua. Bolasepak mampu merentasi jurang bahasa dan budaya. Lihat sahajalah gelagat penonton-penonton bolasepak di beberapa negara Arab. Di Malaysia, jubah selalunya dipakai oleh para imam dan barangkali juga pengikut jemaah tabligh. Namun, orang Arab memakai jubah sebagai pakaian harian mereka. Maka, walaupun nampak pelik untuk memakai jubah selain daripada ke masjid bagi penganut Islam di Malaysia tetapi tidaklah pula asing bagi orang Arab untuk memakainya sekalipun semasa menonton perlawanan bolasepak di stadium. Apa yang lebih pelik, surau yang dibina (di Malaysia khususnya) adalah terlalu kecil berbanding kapasiti stadium sehingga menimbulkan satu persoalan: Adakah peminat bolasepak jumlahnya lebih ramai daripada orang yang bersolat? Tepuk dada tanya selera. Rasanya memanglah tidak salah untuk meminati 'bola' tetapi seperti mana sukan-sukan yang lain, manfaat hanya diperoleh sekiranya bukan mudarat yang dicari.
Kebaikan sukan bolasepak bukan hanya untuk kesihatan (sudah tentu bagi para pemain sahaja), perniagaan, dan hiburan, malah boleh juga diaplikasikan sebagai alat perpaduan rakyat yang berkesan. Dua gol yang dijaringkan oleh Zinedine Zidane ketika dalam perlawanan akhir Piala Dunia tahun 1998 yang membantu negara tuan rumah menewaskan juara bertahan Brazil telah mengubah laluan sejarah buat selama-lamanya. Perancis sebagai negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa kini tidak lagi memandang serong terhadap sebahagian daripada rakyatnya sendiri (yakni golongan pendatang). Jika dahulu mereka sering mencari alasan untuk berpecah belah, sekarang mereka cuba untuk bersatu padu. Inilah perubahan yang boleh dilakukan andainya sukan bolasepak tidak dijadikan sekadar hiburan semata-mata. Pengaruh bolasepak kepada individu, keluarga, mahupun masyarakat tidaklah sehebat agama (agama adalah yang tertinggi), namun tetap mempunyai kesan yang tertentu dari segi politik, ekonomi, dan sosial secara keseluruhannya.
Pemain-pemain
pertahanan biasanya tidaklah sepopular sepertimana pemain-pemain penyerang.
Perkara ini terjadi kemungkinan disebabkan oleh posisi penyerang yang
menggalas tugas glamor, iaitu menjaringkan gol dengan sebanyak mungkin untuk
memenangi sesuatu perlawanan (lalu mereka diangkat menjadi wira). Dengan sebab
itu, peranan para pemain pertahanan seringkali dipandang enteng. Walhal para
pemain pertahanan juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kemenangan dengan
memastikan gol sekiranya dibolosi tidak melebihi gol yang dijaringkan terhadap
pasukan lawan. Walau bagaimanapun, pemain-pemain pertahanan juga wajar diberi
penghormatan serta penghargaan memandangkan formasi bolasepak hanya akan
menjadi lengkap apabila para penyerang turut digandingkan dengan para pemain
pertahanan (di samping penjaga gol, pemain tengah, pemain sayap, dan pemain
bek) untuk bekerja sebagai sebuah pasukan. Berikut disenaraikan beberapa pemain
pertahanan yang pernah menjadi tonggak utama barisan pertahanan negara. Yang
pertama ialah M. Chandran. Beliau dilahirkan di Sungai Siput (Perak), bekas
kapten pasukan kebangsaan ini menjadi pemain yang bertanggungjawab untuk
mengemudi bahagian pertahanan negara dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
Selain itu, beliau turut berpengaruh dalam membantu negara untuk memenangi
pingat gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Selepas bersara daripada
bermain, beliau pernah menjadi jurulatih negara dan jurulatih pasukan lamanya
iaitu Selangor FA.
Kedua
ialah Namat Abdullah. Beliau mampu bermain di posisi pertahanan tengah mahupun
bek kiri, pemain ini merupakan abang kepada Shaharuddin Abdullah (bekas
penyerang kebangsaan). Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini juga telah
mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik 1972 di Jerman.
3.
Soh Chin Aun
Sekiranya
Allahyarham Mokhtar Dahari dianggap sebagai pemain #10 (playmaker) Malaysia
sepertimana Diego Maradona untuk Argentina, pemain ini pula adalah libero bagi
pasukan negara ibarat Franz Beckenbauer bagi Jerman. Sebagai salah seorang
anggota skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, beliau berpeluang
untuk bermain di Sukan Olimpik buat kali kedua pada tahun 1980 yang diadakan di
Moscow (kali ini sebagai kapten) namun terlepas peluang tersebut apabila
Malaysia telah menarik diri (untuk memboikot tuan rumah Rusia) walaupun layak.
4.
Santokh Singh
Pemain
ini telah membentuk gandingan yang sangat mantap di bahagian pertahanan bersama
Soh Chin Aun ketika beraksi untuk skuad kebangsaan. Gandingan ini ditambah pula
dengan kekebalan R. Arumugam sebagai penjaga gol dan Mokhtar Dahari sebagai
penjaring hebat semasa zaman yang dikenali sebagai era kegemilangan bolasepak
negara. Dilahirkan serta dibesarkan di Setapak (Kuala Lumpur), beliau juga
telah bermain untuk pasukan Selangor FA sehingga bersara.
5.
Serbegeth "Shebby" Singh
Beliau
merupakan salah seorang pemain kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA
1989 di Kuala Lumpur. Dilahirkan di Kluang (Johor), pemain yang mempunyai
kemahiran teknikal yang tinggi ini pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 3
kali berturut-turut (1987-1989) bersama pasukan Kuala Lumpur FA selepas
berpindah dari kelab asal beliau iaitu Johor FA. Kini, beliau lebih dikenali
sebagai seorang pengulas sukan di samping pernah terlibat dalam rancangan
realiti TV, 'MyTeam'. Pernah juga dilantik sebagai Penasihat Global bagi sebuah
kelab Inggeris yakni Blackburn Rovers FC.
6.
Zainal Abidin Hassan
Asalnya
seorang penyerang, bekas pemain kebangsaan yang versatil ini pernah menyarung
jersi Selangor FA dan Pahang FA (di mana beliau dan Dollah Salleh menjadi
gandingan yang amat terkenal). Beliau juga dinobatkan sebagai Pemain Paling
Bernilai (MVP) dalam kejohanan Piala Asia Tenggara (kini Piala AFF) pada tahun
1996 sewaktu berumur 35 tahun walaupun tewas 1-0 kepada Thailand dalam
perlawanan akhir. Selepas berhenti bermain pada tahun 1999, beliau telah
beralih arah kepada bidang kejurulatihan pula.
7.
Azmil Azali
Berasal
dari Pulau Sebang (Melaka), bekas pemain kebangsaan ini mencipta nama ketika
bermain bersama pasukan Johor FA. Menjadi pilihan regular dalam skuad
kebangsaan era 1990-an, beliau pernah diiktiraf sebagai Pemain Muda Terbaik
dalam pertandingan Piala Dunhill pada tahun 1997. Menggantungkan but pada tahun
2003, beliau juga pernah berkhidmat dengan pasukan Pahang FA dan Melaka FA.
8.
B. Rajnikandh
Seorang
lagi bekas pemain kebangsaan era 1990-an, pertahanan tengah ini mula mewakili
negara sejak tahun 1995. Sering digandingkan bersama-sama Zainal Abidin Hassan
dan Azmil Azali, beliau pernah diangkat sebagai Pemain Pertahanan Terbaik
negara pada tahun 1997.
9.
Khairul Anuar Baharom
Pemain
pertahanan yang kental ini dikenali dengan nama samarannya iaitu 'Ah Chong' dan
berpengalaman luas di arena bolasepak tempatan. Beliau pernah memberi sumbangan
kepada beberapa buah pasukan, antaranya Kuala Lumpur FA, Terengganu FA, Perak
FA, Kedah FA, Negeri Sembilan FA, PDRM (Polis DiRaja Malaysia) FA, dan Selangor
FA. Namun begitu, beliau lebih banyak kali terpilih untuk mewakili negara di
awal kariernya sahaja.
10.
Kaironnisam Sahabudin Hussain
Walaupun
kempen Piala Asia 2007 (Malaysia sebagai tuan rumah bersama-sama Indonesia,
Thailand, dan Vietnam) berakhir tanpa sebarang kejayaan, pemain kelahiran
Mergong (Kedah) ini sedikit sebanyak tetap mempamerkan kebolehannya apatah lagi
bermain sebagai seorang ketua pasukan. Memperoleh pingat perak dalam Sukan SEA
2001 yang diadakan di Kuala Lumpur, beliau bergandingan baik dengan Norhafiz
Zamani Misbah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.
11.
Norhafiz Zamani Misbah
Pemain
ini dengan Kaironnisam Sahabudin Hussain telah membentuk satu persefahaman yang
bagus di barisan pertahanan negara hingga membuatkan gandingan tersebut mampu
bertahan dengan agak lama (selama beberapa tahun). Beliau juga menganggotai
skuad kebangsaan yang memperoleh pingat perak dalam Sukan SEA 2001 (apabila
tewas 1-0 kepada seteru utama Thailand dalam perlawanan akhir). Beliau akan
sentiasa diingati dalam lipatan sejarah bolasepak tempatan sebagai salah
seorang pertahanan tengah kebangsaan yang cukup tenang dan kemas permainannya.
12.
Marzuki Yusof
Anak
jati Terengganu ini banyak menghabiskan kariernya di Terengganu FA. Walaupun
pernah mewakili pasukan kebangsaan bawah-23, beliau kurang mendapat peluang
untuk berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan lebih-lebih lagi dengan
kehadiran dua tonggak utama yang seangkatan dengannya iaitu Kaironnisam
Sahabudin Hussain dan Norhafiz Zamani Misbah.
13.
Ahmad Azlan Zainal
Pemain
kelahiran Kuala Lumpur ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika
bersama pasukan kebangsaan bawah-23 terutamanya dalam Kejohanan Belia AFC 2004
(Malaysia tewas 3-0 kepada China di peringkat suku akhir). Di samping itu,
beliau turut membantu Malaysia muncul juara dalam Pestabola Merdeka 2007. Walaupun
sebelum ini beliau dijangka mampu pergi lebih jauh untuk merealisasikan
potensinya namun beberapa kecederaan teruk yang dialaminya serba sedikit telah
membantutkan impian tersebut.
14.
Aidil Zafuan Abdul Radzak
Pemain
pertahanan tengah yang bijak mengatur benteng skuad kebangsaan ini merupakan
adik-beradik kembar kepada Zaquan Adha Abdul Radzak (penyerang kebangsaan).
Mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, bintang besar kelahiran Seremban
(Negeri Sembilan) ini juga sekali-sekala mampu membantu jentera serangan
melalui tandukan yang tajam dan tendangan jarak jauh yang sangat padu.
15.
Mohd Fadhli Shas
Selepas
mendapat didikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, pertahanan tengah kelahiran
Lumut (Perak) ini hadir sebagai salah seorang anggota penting skuad kebangsaan
yang muncul juara dalam Piala AFF 2010 (kejuaraan sulung buat Malaysia) serta
memungut dua pingat emas dalam pertandingan bolasepak Sukan SEA (tahun 2009 dan
2011). Semenjak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan menjadi
sebahagian daripada pemain-pemain bintang sebuah kelab tempatan yang berbelanja
besar iaitu Johor Darul Ta'zim FC setelah menandatangani kontrak lumayan pada
tahun 2014.
16.
Muslim Ahmad
Pemain
yang dilahirkan di Kuala Terengganu (Terengganu) ini mula menimba pengalaman
bersama pasukan Piala Presiden Terengganu FA. Selepas itu, beliau meneruskan
pula perjalanan karier bolasepaknya dengan skuad Harimau Muda. Sewaktu berumur
19 tahun, pertahanan tengah ini sudah pun menyertai skuad senior kebangsaan.
Kemudian, beliau terus menempa nama apabila meraih kejuaraan berganda dalam
Sukan SEA (2009 dan 2011) serta kejayaan membawa Malaysia menjadi johan Piala
Suzuki AFF 2010.
17.
Faizal Muhammad
Pertahanan
tengah ini dilahirkan di Marang (Terengganu) dan seperti Muslim Ahmad, turut
menimba pengalaman dengan pasukan Piala Presiden Terengganu FA serta skuad
Harimau Muda. Malah, beliau juga berjaya mengharumkan nama negara apabila
menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan yang memenangi Piala AFF pada
tahun 2010.
18.
Amirizwan Taj Tajuddin
Seorang
pemain yang tinggi lampai, pertahanan tengah kebangsaan ini merupakan produk
sebuah institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dilahirkan di Kota Bharu (Kelantan), kelebihan susuk tubuh badan beliau
membolehkannya menjadi aset penting bagi skuad kebangsaan terutamanya dalam
menghadapi pasukan-pasukan luar negara dalam pertandingan antarabangsa. Pada
tahun 2011, beliau pernah mewakili Malaysia dalam temasya Sukan Universiti
Musim Panas (Summer Universiade) yang diadakan di China.
19.
Amer Saidin
Pemain
ini berasal dari Pulau Pinang dan bermain di posisi pertahanan tengah untuk
pasukan kebangsaan bawah-23. Pada tahun 2014, khidmat beliau digunakan oleh
pasukan Harimau Muda A untuk bersaing dalam Liga Perdana Kebangsaan Queensland
(liga bertahap semi-pro) di Australia. Mempunyai seorang abang yang turut
bermain bolasepak secara profesional dengan sebuah kelab tempatan iaitu Mohd Syukur
Saidin dari Sime Darby FC.
20.
Shahrul Mohd Saad
Dilahirkan
dalam keluarga bolasepak kerana mempunyai dua orang abang yang turut bermain
bolasepak iaitu Syamsul Saad (bekas pemain pertahanan Perak FA) dan Shahrizal
Saad (pemain penyerang Perak FA). Selain daripada posisi pertahanan tengah,
beliau juga mampu bermain dengan baik di posisi bek kanan. Dalam pertandingan
Pestabola Merdeka pada tahun 2013, beliau berjaya membantu Malaysia untuk
menewaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir untuk bergelar juara.
Seperti
yang tercatat dalam sejarah, pemain pertahanan bukan sahaja penting untuk
mengawal kubu pertahanan tetapi juga amat diperlukan dalam pelbagai situasi
yang berbeza mengikut keadaan. Ada yang dilantik menjadi ketua pasukan, ada
yang menjaringkan gol tanpa disangka-sangka apabila penyerang dikawal ketat,
ada yang menyelamatkan bola daripada melepasi garisan gol semasa penjaga gol
sudah pun tertewas, dan begitulah seterusnya. Maka, pemain pertahanan juga
menjadi tunjang kepada sesebuah pasukan apabila dapat bekerjasama dengan semua
pemain di setiap posisi.
Saya amat berminat dengan bola sepak, Tq kerana berkongsi!
ReplyDeleteTumpang lalu, saya juga berminat dalam dunia bola sepak, tapi bolehkah saya membetulkan sedikit sebanyak kesalahan ejaan atau ayat di sini? Minta maaf kerana ganggu..
ReplyDeleteZulaiman, terima kasih kerana suka blog saya.
ReplyDeleteHui Shi, saya juga seorang yang suka belajar. Pembetulan adalah dialu-alukan. Kita boleh belajar sama-sama.
Terima kasih, sebenarnya, bolasepak adalah dipisahkan iaitu ditulis sebagai bola sepak.. Pada pendapat saya, ayat "ini kerana" boleh ditukarkan kepada hal ini demikian akan menjadi lebih sesuai~
ReplyDeleteEheh..suka orang ni yang berkongsi ilmu.. Boleh join sekali?
ReplyDelete"Kini, tidak ada satu pun negara yang tidak terkesan dengan tarikan sukan bolasepak." Ayat ini macam pelik.. Saya akan tulis :tiada mana-mana negara yang tidak tertarik dengan sukan bola sepak"..hehek..tumpang jek
Minta maaf semua, sebenarnya bm saya lemah.. Banyak maklumat saya copy dari internet dan ubahsuai saja.. terima kasih kerana sudi memberi tunjuk ajar.
ReplyDeleteTak apa, kita belajar sahaja daripada kesalahan, dan kita akan bertambah maju. Zulaiman, betul kata anda, ayat yang ditunjukkan itu memang pelik.. perkataan "luarbiasa" juga perlu dipisahkan iaitu "luar biasa".
ReplyDeleteAyat ini "Dengan sebab itu, peranan para pemain pertahanan seringkali dipandang enteng." kurang tepat. Saya akan tulis sebagai "Oleh sebab itu, peranan para pemain pertahanan sering kali dipandang enteng."
ReplyDeleteTerdapat banyak aspek yang perlu kita perhatikan supaya kita kurang melakukan kesilapan atau kesalahan dalam menulis sesuatu ayat. Saya juga dalam proses belajar. Aspek tatabahasa, morfologi dan sintaksis memerlukan masa untuk belajar supaya kita akan menjadi lebih mahir dalam bidang tersebut.
ReplyDeleteBetul kata hui shi, kita semua masih dalam proses belajar. Kita akan bertambah maju jika kita mampu belajar daripada kesalahan. Biarlah kita sama-sama gila-gila untuk bola sepak! Huuuuu..
ReplyDeleteHui Shi dan Zulaiman, terima kasih kerana berkongsi ilmu. Tidak terfikir pun boleh berkenal kawan dan berkongsi ilmu dalam blog.
ReplyDeleteSebenarnya ialah saya berterima kasih kepada anda semua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk bertukar ilmu dan maklumat bersama. Ini merupakan satu kesempatan kepada saya untuk berkongsi apa yang saya faham dengan anda semua.
ReplyDelete