Sunday, 31 August 2014

Gila-gila bola sepak

Sekiranya kita mengkaji sejarah sukan bolasepak, boleh dikatakan hampir semua negara mempunyai kaitan (samada banyak ataupun sikit) dengan kedatangan orang Inggeris. Ini kerana, orang Inggerislah yang mula-mula mempopularkan permainan yang menggunakan kaki ini sehingga pengaruhnya mampu merebak ke seluruh pelosok dunia. Sebab itulah persatuan bolasepak Inggeris hanya dikenali dengan nama 'The FA' (The Football Association). Negara-negara lain pula perlu meletakkan nama negara masing-masing sebelum atau selepas diletakkan perkataan 'FA' bagi membezakannya dengan persatuan bolasepak Inggeris sebagai negara pelopor. Sebagai contoh, FAM adalah singkatan bagi Football Association of Malaysia. Walaupun terdapat kesan sejarah bahawa permainan zaman purba yang seakan-akan bolasepak telah pun muncul di Mexico (permainan yang dinamakan sebagai Tlachtli), China (Tsu'Chu), Bahamas (Tainos), dan Jepun (Kemari), namun permainan moden yang dimainkan pada hari ini adalah hasil daripada undang-undang bolasepak yang diperkenalkan oleh orang Inggeris. Selaras dengan peredaran masa, undang-undang tersebut telah menjadikan bolasepak berkembang sebagai sukan yang lebih tersusun serta sistematik. Acara kemuncak yang diadakan empat tahun sekali yakni kejohanan Piala Dunia FIFA juga kerap kali menjadi tumpuan seluruh dunia tanpa mengira perbezaan warna kulit mahupun latarbelakang bangsa.

Kini, tidak ada satu pun negara yang tidak terkesan dengan tarikan sukan bolasepak. Sekiranya ada pengecualian, mungkin hanya Amerika Syarikat sahaja yang cuba mengecilkan pengaruh bolasepak. Orang Amerika sering menyebut istilah "American exceptionalism" apabila menerangkan sebab mereka tidak berapa cenderung kepada bolasepak. Mereka merasakan bahawa mereka berbeza (atau pelik berbanding) dengan negara-negara lain, tidak kiralah samada ianya baik mahupun tidak. Malah, mereka lebih gemar menggunakan perkataan 'soccer', padahal seluruh dunia menyebut 'football' (nama sukan bolasepak dalam Bahasa Inggeris). Bagi mereka, 'football' adalah 'American Football' atau pertandingan 'Super Bowl' iaitu satu sukan hampir lebih kurang sama dengan sukan ragbi cuma para pemain dikehendaki memakai helmet dan bermacam-macam pad keselamatan. 'American Football' pada dasarnya lebih banyak menggunakan tangan tetapi namanya sahaja yang menggunakan kaki. Di Amerika, 'soccer' adalah permainan yang biasanya dimainkan oleh kaum hawa walaupun jelas kelihatan kurang manis (tak molek) apabila seorang wanita mengangkat kaki untuk menendang, dan kadang kala ada yang sampai terkangkang-kangkang sewaktu menyepak bola. Samada sengaja ataupun terlepas pandang, ramai yang lupa bahawa adalah lebih mudah buat pemain-pemain bolasepak lelaki menutup aurat berbanding perempuan.

Fenomena luarbiasa yang terhasil daripada minat (atau kegilaan) terhadap bolasepak ini boleh diperhatikan hampir di mana-mana sahaja. Bolasepak seolah-olah berfungsi sebagai 'bahasa universal' yang boleh difahami semua. Bolasepak mampu merentasi jurang bahasa dan budaya. Lihat sahajalah gelagat penonton-penonton bolasepak di beberapa negara Arab. Di Malaysia, jubah selalunya dipakai oleh para imam dan barangkali juga pengikut jemaah tabligh. Namun, orang Arab memakai jubah sebagai pakaian harian mereka. Maka, walaupun nampak pelik untuk memakai jubah selain daripada ke masjid bagi penganut Islam di Malaysia tetapi tidaklah pula asing bagi orang Arab untuk memakainya sekalipun semasa menonton perlawanan bolasepak di stadium. Apa yang lebih pelik, surau yang dibina (di Malaysia khususnya) adalah terlalu kecil berbanding kapasiti stadium sehingga menimbulkan satu persoalan: Adakah peminat bolasepak jumlahnya lebih ramai daripada orang yang bersolat? Tepuk dada tanya selera. Rasanya memanglah tidak salah untuk meminati 'bola' tetapi seperti mana sukan-sukan yang lain, manfaat hanya diperoleh sekiranya bukan mudarat yang dicari.

Kebaikan sukan bolasepak bukan hanya untuk kesihatan (sudah tentu bagi para pemain sahaja), perniagaan, dan hiburan, malah boleh juga diaplikasikan sebagai alat perpaduan rakyat yang berkesan. Dua gol yang dijaringkan oleh Zinedine Zidane ketika dalam perlawanan akhir Piala Dunia tahun 1998 yang membantu negara tuan rumah menewaskan juara bertahan Brazil telah mengubah laluan sejarah buat selama-lamanya. Perancis sebagai negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa kini tidak lagi memandang serong terhadap sebahagian daripada rakyatnya sendiri (yakni golongan pendatang). Jika dahulu mereka sering mencari alasan untuk berpecah belah, sekarang mereka cuba untuk bersatu padu. Inilah perubahan yang boleh dilakukan andainya sukan bolasepak tidak dijadikan sekadar hiburan semata-mata. Pengaruh bolasepak kepada individu, keluarga, mahupun masyarakat tidaklah sehebat agama (agama adalah yang tertinggi), namun tetap mempunyai kesan yang tertentu dari segi politik, ekonomi, dan sosial secara keseluruhannya.
Pemain-pemain pertahanan biasanya tidaklah sepopular sepertimana pemain-pemain penyerang. Perkara ini terjadi kemungkinan disebabkan oleh posisi penyerang yang menggalas tugas glamor, iaitu menjaringkan gol dengan sebanyak mungkin untuk memenangi sesuatu perlawanan (lalu mereka diangkat menjadi wira). Dengan sebab itu, peranan para pemain pertahanan seringkali dipandang enteng. Walhal para pemain pertahanan juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kemenangan dengan memastikan gol sekiranya dibolosi tidak melebihi gol yang dijaringkan terhadap pasukan lawan. Walau bagaimanapun, pemain-pemain pertahanan juga wajar diberi penghormatan serta penghargaan memandangkan formasi bolasepak hanya akan menjadi lengkap apabila para penyerang turut digandingkan dengan para pemain pertahanan (di samping penjaga gol, pemain tengah, pemain sayap, dan pemain bek) untuk bekerja sebagai sebuah pasukan. Berikut disenaraikan beberapa pemain pertahanan yang pernah menjadi tonggak utama barisan pertahanan negara. Yang pertama ialah M. Chandran. Beliau dilahirkan di Sungai Siput (Perak), bekas kapten pasukan kebangsaan ini menjadi pemain yang bertanggungjawab untuk mengemudi bahagian pertahanan negara dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Selain itu, beliau turut berpengaruh dalam membantu negara untuk memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Selepas bersara daripada bermain, beliau pernah menjadi jurulatih negara dan jurulatih pasukan lamanya iaitu Selangor FA.
Kedua ialah Namat Abdullah. Beliau mampu bermain di posisi pertahanan tengah mahupun bek kiri, pemain ini merupakan abang kepada Shaharuddin Abdullah (bekas penyerang kebangsaan). Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini juga telah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik 1972 di Jerman.
3. Soh Chin Aun
Sekiranya Allahyarham Mokhtar Dahari dianggap sebagai pemain #10 (playmaker) Malaysia sepertimana Diego Maradona untuk Argentina, pemain ini pula adalah libero bagi pasukan negara ibarat Franz Beckenbauer bagi Jerman. Sebagai salah seorang anggota skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, beliau berpeluang untuk bermain di Sukan Olimpik buat kali kedua pada tahun 1980 yang diadakan di Moscow (kali ini sebagai kapten) namun terlepas peluang tersebut apabila Malaysia telah menarik diri (untuk memboikot tuan rumah Rusia) walaupun layak.
4. Santokh Singh
Pemain ini telah membentuk gandingan yang sangat mantap di bahagian pertahanan bersama Soh Chin Aun ketika beraksi untuk skuad kebangsaan. Gandingan ini ditambah pula dengan kekebalan R. Arumugam sebagai penjaga gol dan Mokhtar Dahari sebagai penjaring hebat semasa zaman yang dikenali sebagai era kegemilangan bolasepak negara. Dilahirkan serta dibesarkan di Setapak (Kuala Lumpur), beliau juga telah bermain untuk pasukan Selangor FA sehingga bersara.
5. Serbegeth "Shebby" Singh
Beliau merupakan salah seorang pemain kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. Dilahirkan di Kluang (Johor), pemain yang mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi ini pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 3 kali berturut-turut (1987-1989) bersama pasukan Kuala Lumpur FA selepas berpindah dari kelab asal beliau iaitu Johor FA. Kini, beliau lebih dikenali sebagai seorang pengulas sukan di samping pernah terlibat dalam rancangan realiti TV, 'MyTeam'. Pernah juga dilantik sebagai Penasihat Global bagi sebuah kelab Inggeris yakni Blackburn Rovers FC.
6. Zainal Abidin Hassan
Asalnya seorang penyerang, bekas pemain kebangsaan yang versatil ini pernah menyarung jersi Selangor FA dan Pahang FA (di mana beliau dan Dollah Salleh menjadi gandingan yang amat terkenal). Beliau juga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam kejohanan Piala Asia Tenggara (kini Piala AFF) pada tahun 1996 sewaktu berumur 35 tahun walaupun tewas 1-0 kepada Thailand dalam perlawanan akhir. Selepas berhenti bermain pada tahun 1999, beliau telah beralih arah kepada bidang kejurulatihan pula.
7. Azmil Azali
Berasal dari Pulau Sebang (Melaka), bekas pemain kebangsaan ini mencipta nama ketika bermain bersama pasukan Johor FA. Menjadi pilihan regular dalam skuad kebangsaan era 1990-an, beliau pernah diiktiraf sebagai Pemain Muda Terbaik dalam pertandingan Piala Dunhill pada tahun 1997. Menggantungkan but pada tahun 2003, beliau juga pernah berkhidmat dengan pasukan Pahang FA dan Melaka FA.
8. B. Rajnikandh
Seorang lagi bekas pemain kebangsaan era 1990-an, pertahanan tengah ini mula mewakili negara sejak tahun 1995. Sering digandingkan bersama-sama Zainal Abidin Hassan dan Azmil Azali, beliau pernah diangkat sebagai Pemain Pertahanan Terbaik negara pada tahun 1997.
9. Khairul Anuar Baharom
Pemain pertahanan yang kental ini dikenali dengan nama samarannya iaitu 'Ah Chong' dan berpengalaman luas di arena bolasepak tempatan. Beliau pernah memberi sumbangan kepada beberapa buah pasukan, antaranya Kuala Lumpur FA, Terengganu FA, Perak FA, Kedah FA, Negeri Sembilan FA, PDRM (Polis DiRaja Malaysia) FA, dan Selangor FA. Namun begitu, beliau lebih banyak kali terpilih untuk mewakili negara di awal kariernya sahaja.
10. Kaironnisam Sahabudin Hussain
Walaupun kempen Piala Asia 2007 (Malaysia sebagai tuan rumah bersama-sama Indonesia, Thailand, dan Vietnam) berakhir tanpa sebarang kejayaan, pemain kelahiran Mergong (Kedah) ini sedikit sebanyak tetap mempamerkan kebolehannya apatah lagi bermain sebagai seorang ketua pasukan. Memperoleh pingat perak dalam Sukan SEA 2001 yang diadakan di Kuala Lumpur, beliau bergandingan baik dengan Norhafiz Zamani Misbah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.
11. Norhafiz Zamani Misbah
Pemain ini dengan Kaironnisam Sahabudin Hussain telah membentuk satu persefahaman yang bagus di barisan pertahanan negara hingga membuatkan gandingan tersebut mampu bertahan dengan agak lama (selama beberapa tahun). Beliau juga menganggotai skuad kebangsaan yang memperoleh pingat perak dalam Sukan SEA 2001 (apabila tewas 1-0 kepada seteru utama Thailand dalam perlawanan akhir). Beliau akan sentiasa diingati dalam lipatan sejarah bolasepak tempatan sebagai salah seorang pertahanan tengah kebangsaan yang cukup tenang dan kemas permainannya.
12. Marzuki Yusof
Anak jati Terengganu ini banyak menghabiskan kariernya di Terengganu FA. Walaupun pernah mewakili pasukan kebangsaan bawah-23, beliau kurang mendapat peluang untuk berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua tonggak utama yang seangkatan dengannya iaitu Kaironnisam Sahabudin Hussain dan Norhafiz Zamani Misbah.
13. Ahmad Azlan Zainal
Pemain kelahiran Kuala Lumpur ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika bersama pasukan kebangsaan bawah-23 terutamanya dalam Kejohanan Belia AFC 2004 (Malaysia tewas 3-0 kepada China di peringkat suku akhir). Di samping itu, beliau turut membantu Malaysia muncul juara dalam Pestabola Merdeka 2007. Walaupun sebelum ini beliau dijangka mampu pergi lebih jauh untuk merealisasikan potensinya namun beberapa kecederaan teruk yang dialaminya serba sedikit telah membantutkan impian tersebut.
14. Aidil Zafuan Abdul Radzak
Pemain pertahanan tengah yang bijak mengatur benteng skuad kebangsaan ini merupakan adik-beradik kembar kepada Zaquan Adha Abdul Radzak (penyerang kebangsaan). Mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, bintang besar kelahiran Seremban (Negeri Sembilan) ini juga sekali-sekala mampu membantu jentera serangan melalui tandukan yang tajam dan tendangan jarak jauh yang sangat padu.
15. Mohd Fadhli Shas
Selepas mendapat didikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, pertahanan tengah kelahiran Lumut (Perak) ini hadir sebagai salah seorang anggota penting skuad kebangsaan yang muncul juara dalam Piala AFF 2010 (kejuaraan sulung buat Malaysia) serta memungut dua pingat emas dalam pertandingan bolasepak Sukan SEA (tahun 2009 dan 2011). Semenjak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan menjadi sebahagian daripada pemain-pemain bintang sebuah kelab tempatan yang berbelanja besar iaitu Johor Darul Ta'zim FC setelah menandatangani kontrak lumayan pada tahun 2014.
16. Muslim Ahmad
Pemain yang dilahirkan di Kuala Terengganu (Terengganu) ini mula menimba pengalaman bersama pasukan Piala Presiden Terengganu FA. Selepas itu, beliau meneruskan pula perjalanan karier bolasepaknya dengan skuad Harimau Muda. Sewaktu berumur 19 tahun, pertahanan tengah ini sudah pun menyertai skuad senior kebangsaan. Kemudian, beliau terus menempa nama apabila meraih kejuaraan berganda dalam Sukan SEA (2009 dan 2011) serta kejayaan membawa Malaysia menjadi johan Piala Suzuki AFF 2010.
17. Faizal Muhammad
Pertahanan tengah ini dilahirkan di Marang (Terengganu) dan seperti Muslim Ahmad, turut menimba pengalaman dengan pasukan Piala Presiden Terengganu FA serta skuad Harimau Muda. Malah, beliau juga berjaya mengharumkan nama negara apabila menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan yang memenangi Piala AFF pada tahun 2010.
18. Amirizwan Taj Tajuddin
Seorang pemain yang tinggi lampai, pertahanan tengah kebangsaan ini merupakan produk sebuah institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM). Dilahirkan di Kota Bharu (Kelantan), kelebihan susuk tubuh badan beliau membolehkannya menjadi aset penting bagi skuad kebangsaan terutamanya dalam menghadapi pasukan-pasukan luar negara dalam pertandingan antarabangsa. Pada tahun 2011, beliau pernah mewakili Malaysia dalam temasya Sukan Universiti Musim Panas (Summer Universiade) yang diadakan di China.
19. Amer Saidin
Pemain ini berasal dari Pulau Pinang dan bermain di posisi pertahanan tengah untuk pasukan kebangsaan bawah-23. Pada tahun 2014, khidmat beliau digunakan oleh pasukan Harimau Muda A untuk bersaing dalam Liga Perdana Kebangsaan Queensland (liga bertahap semi-pro) di Australia. Mempunyai seorang abang yang turut bermain bolasepak secara profesional dengan sebuah kelab tempatan iaitu Mohd Syukur Saidin dari Sime Darby FC.
20. Shahrul Mohd Saad
Dilahirkan dalam keluarga bolasepak kerana mempunyai dua orang abang yang turut bermain bolasepak iaitu Syamsul Saad (bekas pemain pertahanan Perak FA) dan Shahrizal Saad (pemain penyerang Perak FA). Selain daripada posisi pertahanan tengah, beliau juga mampu bermain dengan baik di posisi bek kanan. Dalam pertandingan Pestabola Merdeka pada tahun 2013, beliau berjaya membantu Malaysia untuk menewaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir untuk bergelar juara.

Seperti yang tercatat dalam sejarah, pemain pertahanan bukan sahaja penting untuk mengawal kubu pertahanan tetapi juga amat diperlukan dalam pelbagai situasi yang berbeza mengikut keadaan. Ada yang dilantik menjadi ketua pasukan, ada yang menjaringkan gol tanpa disangka-sangka apabila penyerang dikawal ketat, ada yang menyelamatkan bola daripada melepasi garisan gol semasa penjaga gol sudah pun tertewas, dan begitulah seterusnya. Maka, pemain pertahanan juga menjadi tunjang kepada sesebuah pasukan apabila dapat bekerjasama dengan semua pemain di setiap posisi.

12 comments:

  1. Saya amat berminat dengan bola sepak, Tq kerana berkongsi!

    ReplyDelete
  2. Tumpang lalu, saya juga berminat dalam dunia bola sepak, tapi bolehkah saya membetulkan sedikit sebanyak kesalahan ejaan atau ayat di sini? Minta maaf kerana ganggu..

    ReplyDelete
  3. Zulaiman, terima kasih kerana suka blog saya.
    Hui Shi, saya juga seorang yang suka belajar. Pembetulan adalah dialu-alukan. Kita boleh belajar sama-sama.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih, sebenarnya, bolasepak adalah dipisahkan iaitu ditulis sebagai bola sepak.. Pada pendapat saya, ayat "ini kerana" boleh ditukarkan kepada hal ini demikian akan menjadi lebih sesuai~

    ReplyDelete
  5. Eheh..suka orang ni yang berkongsi ilmu.. Boleh join sekali?
    "Kini, tidak ada satu pun negara yang tidak terkesan dengan tarikan sukan bolasepak." Ayat ini macam pelik.. Saya akan tulis :tiada mana-mana negara yang tidak tertarik dengan sukan bola sepak"..hehek..tumpang jek

    ReplyDelete
  6. Minta maaf semua, sebenarnya bm saya lemah.. Banyak maklumat saya copy dari internet dan ubahsuai saja.. terima kasih kerana sudi memberi tunjuk ajar.

    ReplyDelete
  7. Tak apa, kita belajar sahaja daripada kesalahan, dan kita akan bertambah maju. Zulaiman, betul kata anda, ayat yang ditunjukkan itu memang pelik.. perkataan "luarbiasa" juga perlu dipisahkan iaitu "luar biasa".

    ReplyDelete
  8. Ayat ini "Dengan sebab itu, peranan para pemain pertahanan seringkali dipandang enteng." kurang tepat. Saya akan tulis sebagai "Oleh sebab itu, peranan para pemain pertahanan sering kali dipandang enteng."

    ReplyDelete
  9. Terdapat banyak aspek yang perlu kita perhatikan supaya kita kurang melakukan kesilapan atau kesalahan dalam menulis sesuatu ayat. Saya juga dalam proses belajar. Aspek tatabahasa, morfologi dan sintaksis memerlukan masa untuk belajar supaya kita akan menjadi lebih mahir dalam bidang tersebut.

    ReplyDelete
  10. Betul kata hui shi, kita semua masih dalam proses belajar. Kita akan bertambah maju jika kita mampu belajar daripada kesalahan. Biarlah kita sama-sama gila-gila untuk bola sepak! Huuuuu..

    ReplyDelete
  11. Hui Shi dan Zulaiman, terima kasih kerana berkongsi ilmu. Tidak terfikir pun boleh berkenal kawan dan berkongsi ilmu dalam blog.

    ReplyDelete
  12. Sebenarnya ialah saya berterima kasih kepada anda semua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk bertukar ilmu dan maklumat bersama. Ini merupakan satu kesempatan kepada saya untuk berkongsi apa yang saya faham dengan anda semua.

    ReplyDelete